MAKLUM BALAS PELAKSANAAN MODUL 10 MINIT PERHIMPUNAN

Norani binti Abd Rahim, Haslina binti Hassan, Mohd Khamdani bin Sairi, PhD, Norzamziah binti Md Noor, Anita Sapura binti Shaari, Aliza binti Adnan, Ismail bin Hj. Raduan, PhD.
norani@ipgkik.edu.my , ismail@ipgkik.edu.my

IPG Kampus Ilmu Khas, Kuala Lumpur

Abstrak

Kajian ini bertujuan melihat maklum balas pelaksanaan awal Modul 10 Minit Perhimpunan yang dilaksanakan di seluruh negara. Kajian kuantitatif ini menggunakan kajian tinjauan sebagai reka bentuk. Data dipungut dengan menggunakan soal selidik lima skala (1-STS, 2-TS, 3-KS, 4-S, 5-SS) untuk menjadi pilihan sampel dan digunakan untuk mengukur enam konstruk iaitu Objektif Program, Isi Kandungan Modul, Potensi Keberkesanan: Kebergunaan, Potensi Keberkesanan : Fleksibiliti, Potensi Keberkesanan : Persembahan, dan Potensi Keberkesanan : Kepuasan Keseluruhan. Data dianalisis secara deskriptif dan inferen. Analisis deskriptif digunakan untuk mencari nilai min, nilai peratus, dan sisihan piawai. Selain itu, ujian-t juga digunakan untuk melihat perbezaan mengikut jantina, bangsa, zon, lokasi sekolah dan jenis sekolah. Seramai 51 orang terlibat dalam kajian yang terdiri daripada 16 responden guru Zon Utara, 15 responden guru Zon Selatan, 13 responden guru Zon Tengah, 6 responden guru Sabah, dan 1 responden guru Zon Timur. Mereka yang terlibat adalah guru yang telah melaksanakan Modul 10 MInit Perhimpunan di sekolah. Sampel kajian terdiri daripada 18 orang lelaki (35.3%), 33 perempuan (64.7%). Dapatan kajian menunjukkan Objektif Program 10 Minit Perhimpunan mencapai tahap tinggi (min =4.68, sp=0.51) dan Isi Kandungan (min=4.67, sp=0.49). Potensi Keberkesanan : Kebergunaan juga menunjukkan tahap tinggi (min= 4.62, sp=0.51) dan potensi keberkesanan : Fleksibiliti (min=4.61, sp=0.48), potensi keberkesanan: persembahan ( min=4.55, sp=0.50). Pada keseluruhannya potensi kebergunaan: kepuasan keseluruhan menunjukkan tahap tinggi (min-4.70, sp=0.44). Ini bermakna Modul 10 Minit Perhimpunan diterima secara positif oleh guru-guru dan memberikan wajah baharu pelaksanaan perhimpunan mingguan sekolah sekali gus menyemarakkan pembelajaran abad ke-21.

Kata kunci: Maklum balas, 10 Minit Perhimpunan, Keberkesanan, fleksibiliti