Budaya Berfikir & Unpack Curriculum

 

Maklum balas awal menerusi soal selidik secara dalam talian mendapati pelaksanaan Modul 10 Minit dalam perhimpunan sekolah menepati keperluan dna kehendak pembelajaran abad ke-21(PAK21).

Soal selidik mengenai modul cetusan idea Unit Pendidikan Utusan Malaysia ini dilaksanakan oleh rakan kerjasama pembangun modul berkenaan, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Ilmu Khas selama sebulan menggunakan Kod QR yang diterbitkan di ruangan ini dan akhbar pendidikan, Utusan Pelajar sepanjang April lalu.

Menurut Ketua Jabatan Sains Sukan IPG Kampus Ilmu Khas, Dr. Mohd Khamdani Sairi, dapatan kesemua enam konstruk kajian berada pada tahap sangat tinggi dengan skor min keseluruhan 4.65 daripada 5.00.

“Konstruk Kepuasan Keseluruhan mencatatkan skor min ter­tinggi 4.70 diikuti Objektif Program (4.68), Isi Kandungan Modul (4.67), Kebergunaan (4.62), Fleksibiliti (4.61) dan Persembahan (4.55),” katanya yang juga ahli kumpulan penggubal modul ini.