Modul 10 Minit Perhimpunan ialah set aktiviti unpack curriculum yang dibangunkan bagi membudayakan pembelajaran abad ke-21 dalam kalangan guru dan murid sekolah. Pelaksanaan modul ini merupakan satu daripada medium bagi menjayakan program penjenamaan Isnin Hari Pembelajaran Abad Ke-21 (PAK21).
Sebanyak 42 aktiviti yang merentas subjek dan tahap persekolahan – rendah dan menengah dibangunkan untuk dilaksanakan oleh pihak pentadbiran sekolah mengikut tema yang boleh disesuaikan dengan hari perayaan atau acara tertentu seperti Minggu Sains, Keusahawanan, Alam Sekitar, Hari Orang Kelainan Upaya dan sebagainya sewaktu perhimpunan mingguan dalam tempoh 10 minit.
Modul ini sebagai pencetus dalam mewujudkan elemen keseronokan kepada murid bagi mengikuti PAK21 di samping menyediakan persekitaran yang menyokong keperluan mereka untuk melaksanakannya. PAK21 yang berfokuskan murid ini menerapkan nilai murni, memberi peluang mereka mengembangkan potensi diri dan menjadi pemikir, mengaplikasi dan mencipta melalui tugasan berasaskan projek di samping menggalakkan mereka berdamping dengan masyarakat setempat.
Aktiviti mingguan dan panduan lengkap berserta skrip disediakan bagi memudahkan guru mengaplikasikan modul ini. Antara aktiviti termasuklah gerak kerja serentak, lakon peranan, persembahan, pertandingan dan simulasi agar dapat memberikan impak positif yang berkekalan kepada semua murid secara inklusif tanpa mengira latar belakang sosial, tahap kognitif, aliran perdana atau pendidikan khas dan juga orang Asli.